Minggu, 20 November 2011
ULAMA : MENURUT NERACA ALQURAN DAN HADIS
“Ustaz, siapa yang dikatakan ulama itu? Berapa lama tempohnya nak jadi ulama? Adakah tempoh lama menjadi pendakwah menjadi syarat orang itu boleh diiktiraf menjadi ulama?
Berikut adalah soalan- soalan yang kerap ditanya kepada saya sejak kebelakangan ini. Ramai sungguh yang bertanya saya persoalan begini. Jika jawapanya seperti pensyarah universiti pasti panjang berjela. Sebenarnya sudah banyak hal ini ditulis. Namun ramai yang tidak membacanya, mungkin kerana jemu, malas atau tiada masa. Maka saya jawab secara ringkas berdasarkan beberapa nas Al Quran dan Hadis yang sudah ribuan tahun dipelihara Allah Taala sumber-sumbernya.
Secara mudah, ulama adalah jama’ (plural) kepada perkataan ‘alim. ‘Alim pula yang berilmu. Bila disebutkan ‘alim dalam kefahaman kita, ia adalah yang berilmu agama. Kriteria seorang ulama yang hakiki terlalu banyak untuk disenaraikan.
Antaranya :
[1] Bertaqwa.
Hal ini disentuh berdasarkan firman Allah Taala : “Hanya yang takutkan Allah di kalangan hamba-hamba-Nya adalah ULAMA“ [ Surah Al Fatir:28 ] Saidina Anas R.A menambah,”Sesiapa yang tidak takutkan Allah bukanlah orang ‘alim”. Oleh kerana itu, kriteria utamanya mestilah takutkan Allah. Kalau berani lawan hukum- hukum Allah, bersekongkol dengan golongan sekular, mendiamkan kemungkaran kerana takut dibayangi hukuman kerajaan, ilmuwan seperti ini walau ada Ph.D bertimbun pun tidak diiktiraf sebagai ulama. Begitu juga kepada mana-mana ilmuwan yang memiliki berlembar-lembar ijazah, tetapi tidak beradab dengan para ulama, maka bukanlah juga dia orang yang ‘alim. Salah satu tanda seseorang itu takut kepada Allah adalah dia mencintai para kekasih Allah dan tentu sekali menjaga lidahnya dari perkataan buruk, menghina atau mencela kepada mereka. Adakah wajar seorang yang berilmu mengheret nama-nama tokoh besar seperti Imam Al Ghazali, Imam An Nawawi, Sheikh Abdul Qadir Jailani dengan kata- kata nista? Adakah selayaknya seorang yang berpengetahuan Islam itu mencaci ulama yang berbeza pendapat (khilaf) dengan cacian ‘ulama kepala lutut? Jika beginilah sikap ilmuwan, maka bukanlah dia seorang yang berhak dijadikan rujukan umat mahupun digelar seorang ‘alim.
[2] Berguru.
Dalam sebuah hadis yang sahih : “Ilmu itu diperoleh dengan cara ta’allum (dipelajari dari guru), kefahaman itu dengan cara tafaqquh (bertemu dengan guru menagih kefahaman darinya) dan sesiapa yang Allah mahu baginya kebaikan, maka Allah akan memberikan kepadanya kefaqihan (kefahaman) dalam hal ehwal agama”. [ Tarikh Dimashq Ibn Asakir ] Syarat utama mahu menjadi ‘alim mesti belajar. Tempohnya? Tentu sekali panjang kerana ilmu kurniaan Allah itu tiada batasan. Ilmu bukan hanya membaca buku sendiri. Bukan juga dengan cara google atau melihat sesawang blog sahaja. Ia juga bukan dengan hanya pandai menyusun bicara atau rajin mengarang tetapi mestilah dengan dipelajari secara disiplin dengan tertib dan adabnya dari guru yang belajar pula dengan gurunya sehinggalah kepada penghulu kepada semua guru- guru iaitu, Baginda Rasulullah S.A.W. Hari ini ramai yang mampu berpidato dan menulis ilmu tentang agama. Kepesatannya diibaratkan Malaysia sudah ada 10 juta orang mufti kerana masing-masing hendak mengeluarkan fatwa. Malangnya, tidak pernah pula belajar dari sumbernya. Malah ada juga yang tidak menghormati golongan ulama yang sebenar. Mereka yang merasakan diri sudah ‘alim hanya semata-mata dengan pembacaan di sana sini juga tidak sepatutnya dilabel ulama.
[3] Mewarisi hikmah kenabian (ilmu dakwah).
Berdasarkan hadis sahih yang lain pula : “Sesungguhnya ulama adalah pewaris para Nabi” [ Sunan Ibn Majah, Tirmizi dan Musnad Imam Ahmad ] Apa yang ulama warisi? Tentu sekali ilmu. Apa yang patut ada pada mereka? Menyambung perjuangan, dakwah dan kepimpinan Para Nabi. Mereka yang berpeluk tubuh sahaja menunggu kemenangan bukanlah ulama. Pewaris Nabi yang sebenar tentulah menyedari tanggungjawab ilmu yang mereka perolehi memikul tanggungjawab dakwah yang sangat berat. Inilah yang disebutkan dalam hadis yang lain bahawa ilmu itu dihilangkan oleh Allah dengan cara mematikan para ulama. Ketika itu manusia akan mengangkat orang yang jahil sebagai pemimpin, sesat lagi menyesatkan. Hal ini bermakna, selagi ulama itu hidup kumpulan elit di sisi Allah ini perlu memimpin masyarakat, menyelamatkan mereka dari kesesatan yang selayaknya menjadi tugas sebagai waris Para Nabi.
Malangnya hari ini ada yang mengatakan ulama sepatutnya jauh dari politik dan permasalahan negara. Ulama perlu berceramah dari masjid ke masjid sahaja. Ulama hanya perlu menulis kitab atau memilki blog peribadi. Ulama duduklah di atas sajadah mendoakan kebahagian ummah. Urusan kepimpinan serahkan sahaja kepada yang lain. Pewaris Nabi jangan ganggu urusan pewaris Qaisar. Begitu? Pemikiran begini sangat berbahaya. Nantikanlah kiamat bila semua manusia berfikiran begini, kerana waktu itu sama ada “mati”-nya jasad ulama ataupun hak dan peranan mereka cuba di-matikan. Lupakah kita, kalah atau menangnya ulama rabbani itu mereka semua dipimpin atas petunjuk Allah. “Jika apa yang engkau serukan kepada mereka sesuatu yang terbentang luas dan mudah diperolehi, destinasinya tidak begitu jauh, tidak sukar menuju matlamatnya. Nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu. Tetapi tempat yang hendak dituju (bagi redha Allah) itu jauh bagi mereka (sehingga ada yang terkandas)...” [ Surah At Taubah:42 ] Ada disebut dalam hadis qudsi perihal kekasih Allah bahawa penglihatan, pedengaran dan pergerakan mereka semua itu dipandu oleh Allah. Itu semua adalah hasil berkat amalan mereka yang jujur ingin menggapai redha Allah. Mana yang lebih baik, pergerakan yang dipandu oleh Allah atau mereka yang dijenterai politikus rakus dan pemikir genius?
Catatan akhir :
1) Pendakwah tidak semestinya ‘alim. Ibarat penjual sesuatu produk tidak semestinya arif segala perkara yang dijualnya. Pendakwah ibarat yang mempromosikan produk Islam. Tetapi yang mengerti produk itu sendiri adalah seorang ‘alim. Ada juga yang mengerti produk, tetapi tidak tahu mempromosikannya. Maka ulama yang hebat lazimnya memiliki kedua-dua kemahiran ini.
2) Gulungan ijazah bukan isyarat seorang itu ‘alim atau tidak. Tetapi syarat nak jadi ‘alim mesti belajar. Zaman kita biasanya bila belajar di sebuah institusi, dapatlah gulungan ijazah. Begitupun tidak semua yang dapat gulungan ijazah itu benar- benar belajar. Fahamilah.
3) Ulama ada pelbagai peringkat. Dari sehebat seorang Mujtahid Mutlaq sehinggalah seorang mufti, sampai kepada seorang ‘alim biasa.
4) Sebuah hadis yang sahih menjelaskan kelebihan orang yang ‘alim itu akan didoakan keampunan baginya oleh seluruh makhluk yang berada di langit dan di bumi. Untung bukan? Siapalah kita.