Sabtu, 10 Desember 2011
Aqidah Imam Empat Adalah Satu
Pembahasan Pertama Aqidah Imam Empat iaitu Imam Abu Hanifah , Imam Malik , Imam Syafi’i dan Imam Ahmad Ibnu Hanbal adalah satu iaitu aqidah sebagaimana yang dinyatakan oleh Al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w dan sebagaimana aqidah para sahabat dan golongan yang mengikuti jejak langkah mereka dengan baik. Al Hamdulillah, di antara mereka tidak terdapat percanggahan dalam Ushuluddin atau Asas-asas agama, malahan kesemua mereka bersepakat tentang iman terhadap sifat-sifat Allah, Al- Quran adalah Kalam dan bukan makhluk, Iman mestilah bersesuaian antara ucapan lisan dan keyakinan hati, bahkan mereka bersepakat mengingkari Golongan Ahli Kalam seperti seperti Jahmiyah dan seumpamanya yang sudah terpengaruh dengan falsafah Yunani dan Mazhab-Mazhab Kalamiyah.
Imam Ibnu Taimiyah berkata : (….namun berkat rahmat Allah kepada hamba-hamba-Nya bahawa Imam-Imam yang menjadi ikutan umat seperti Imam-Imam yang empat dan lain-lain, semua mereka mengingkari Ahli Kalam seperti Jahmiyah; tentang keyakinan mereka terhadap Al-Quran, Iman dan Sifat-sifat Allah. Kesemua mereka mempunyai satu pendirian dan keyakinan sebagaimana pendirian dan keyakinan Salafus Soleh bahawa Allah S.W.T.dapat dilihat di akhirat, dan Al-Quran itu Kalamullah bukan makhluk, Iman pula mestilah gabungan daripada ucapan lisan dan keyakinan hati………). Imam Ibnu Taimiyah ditanya tentang I’tiqad Imam Syafi’I, jawabnya: “ I’tikad Syafi’i r.a dan I’tikad Salaf Al Ummah seperti Malik, Al Thaury, Al Auza’i, Ibnu Al Mubarak, Ahmad Ibnu Hanbal, Ishak Bin Ruhawaih adalah sebagaimana I’tikad Masyaikh Al Muqtadaa (Syeikh-syeikh yang menjadi teladan umat) seperti Al Fudhail Bin ‘Iyadh, Abu Sulaiman Al Daraany, Sahl Bin Abdullah Al Tustury dan lain-lain. Tidak terdapat perbezaan pandangan di antara mereka dalam hal yang bersangkutan dengan Ushuludin. Demikian juga Imam Abu Hanifah Rahimahullah kerana i’tikad yang thabit daripada beliau tentang Tauhid dan Qadar dan yang seumpamanya adalah bersesuaian dengan I’tikad mereka.
Manakala I’tikad mereka adalah sebagaimana I’tikad Para Sahabat dan Tabi’iin iaitu apa yang dinyatakan oleh Al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w.” Pandangan ini telah dipilih oleh Al’Allaamah Shadiq Hasan Khaan, katanya: “Maka mazhab kami adalah sebagaimana mazhab Salaf iaitu Ithbat tanpa Tasybih, Tanzih tanpa ta’thil. Inilah mazhab Imam-Imam Utama Umat Islam seperti Malik Syafi’I, Al Thaury, Ibnu Al Mubarak dan Imam Ahmad …….dan lain-lain lagi. Tidak terdapat di antara mereka sedikitpun percanggahan dalam hal Ushuluddin. Demikian juga dengan Imam Abu Hanifah r.a. kerana I’tikad yang thabit daripada beliau ialah sebagaimana I’tikad Imam-Imam yang lain iaitu sebagaimana yang dinyatakan oleh Al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. Berikut ini akan kami dedahkan nukilan kata-kata Imam-Imam Yang Empat yang menjadi ikutan ramai umat Islam iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Al syafi’I dan Imam Ahmad Ibnu Hanbal tentang apa yang mereka I’tikadkan dalam masalah- masalah Ushuluddin serta penjelasan tentang sikap mereka masing-masing terhadap Ilmu Kalam. Pembahasan Kedua Aqidah Imam Abu Hanifah Tentang Tauhid Imam Abu Hanifah berkata: Tidak wajar seseorang berdoa kepada Allah kecuali dengan-Nya dan doa yang diizinkan serta disuruh Allah adalah sebagaimana yang tertera dalam firman Allah, mafhumnya, Hanya milik Allah Asma-ul husna maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut Asmaa-ul husna itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang daripada kebenaran dalam menyebut nama-nama-Nya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan (Al A’raf: 180) Abu Hanifah berkata: Adalah dibenci jika seseorang berdoa dengan mengatakan: Aku memohon kepada-Mu dengan hak si pulan atau hak Nabi-Nabi- Mu dan hak Rasul-Rasul-Mu atau hak Al Bait Al Haram dan Al Masy’ar Al Haram. Abu Hanifah berkata: Allah tidak boleh disifati dengan sifat-sifat makhluk; MurkaNya dan RedhaNya adalah dua sifat di antara sifat-sifatNya tanpa takyiif. Inilah keyakinan Ahlus Sunnah Wal Jamaah iaitu Dia Murka dan Dia Redha; Dan tidak boleh dikatakan MurkaNya itu adalah seksa-Nya, dan Redha- Nya itu Ganjaran-Nya. Kita mestilah mensifati-Nya sebagaimana Dia sendiri yang mensifati diri-Nya; Al Ahad, Al- Shamad, Lam Yalid Wa Lam Yuulad, Wa lam yakun Lahuu Kufuan Ahad. Dia Maha Hidup, Maha Mendengar, Maha Melihat, Maha Mengetahui, Tangan Allah di atas tangan mereka, Tangan- Nya tidak sebagaimana tangan- tangan makhluk-Nya, dan Wajah- Nya tidak sebagaimana wajah- wajah makhluk-Nya. Abu Hanifah berkata: Allah mempunyai tangan dan wajah sebagaimana Allah menyebutnya di dalam Al Quran. Maka apa yang disebutkan oleh Allah di dalam Al Quran seperti menyebut tangan dan wajah, itu adalah sifat bagi-Nya tanpa takyiif (mempertikaikan tentang bagaimana).
Kita tidak boleh mengatakan tangan-Nya adalah kuasa-Nya atau ni’mat-Nya kerana yang demikian itu bererti kita telah membatalkan sifat Allah (Ibthaalus Sifat), dan pandangan seperti inilah sebenarnya pandangan Qadariyah dan Mu’tazilah. Abu Hanifah berkata: Tidak wajar bagi seseorang memperkatakan sesuatu tentang Dzat Allah, bahkan dia sepatutnya mensifati Allah dengan apa yang telah Allah sifatkan kepada diri-Nya. Kita tidak sepatutnya memperkatakan sesuatu tentangnya berdasarkan akal semata, Maha Suci Allah Tuhan sekalian alam. Abu Hanifah berkata: Sesiapa yang berkata, “Saya tidak tahu, adakah Allah itu di langit atau di bumi” maka dia kafir, demikian juga orang yang berkata: Sesungguhnya Dia di atas Arasy tetapi saya tidak tahu adakah `Arasy itu di langit atau di bumi. Abu Hanifah berkata: Al-Quran adalah Kalamullah, di dalam mashhaf dia ditulis dan di dalam hati dia dihafaz dan pada lidah dia dibaca, dan ke atas Nabi s.a.w. diturunkan.
Tentang Qadar Dia berkata: Adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu sejak azali sebelum sesuatu itu wujud lagi. Dia berkata: Allah Maha Mengetahui tentang sesuatu yang tiada (ma’dum) dalam hal ketiadaannya, dan Dia Maha mengetahui bagaimana keadaannya jika Dia mewujudkannya, dan Allah Maha Mengetahui bagaimana kelak yang wujud itu akan musnah. Dia berkata: Kami menyakini bahawa Allah menyuruh Qalam supaya menulis, lalu Qalam berkata: Apakah yang akan aku tulis, wahai Tuhan? Maka Allah berfirman kepadanya: Tulislah olehmu apa yang akan terjadi hingga ke Hari Kiamat. Ini berdasarkan firman Allah : Dan segala sesuatu yang telah mereka perbuat tercatat dalam buku-buku catatan. Dan segala (urusan) yang kecil mahu pun yang besar adalah tertulis (Al Qamar: 52-53). Dia berkata: Kami menyakini bahawa hamba (manusia) bersama amalannya dan ikrarnya dan ma’rifatnya adalah makhluk. Sebab jika orang yang melakukan perbuatan (Faa’il) itu adalah makhluk maka adalah lebih utama perbuatan- perbuatannya (Afaal) itu adalah makhluk. Dia berkata: Segala perbuatan hamba, sama ada pergerakannya ataupun diamnya adalah usaha atau ikhtiar mereka. Dan Allah Yang Menciptanya. Semuanya adalah dengan kehendak-Nya, Ilmu-Nya, Qadha-Nya dan Qadar- Nya. Dia berkata: Semua perbuatan hamba, sama ada pergerakan; ataupun diamnya adalah usahanya secara hakiki (sebenarnya) dan Allah menciptakannya. Semuanya adalah dengan kehendak-Nya dan ilmu-Nya dan Qadha-Nya dan Qadar-Nya. Semua ketaatan adalah wajib dengan perintah Allah dan dengan Kesukaan-Nya dan Redha-Nya, Ilmu-Nya, Kehendak-Nya, Qadha-Nya dan Qadar-Nya. Sedangkan maksiat pula semuanya adalah dengan ilmu Allah, Qadha-Nya, Taqdir- Nya dan Kehendak-Nya, bukan dengan Kesukaan-Nya, bukan dengan Keredhaan-Nya dan bukan pula dengan Perintah-Nya. Tentang Iman Iman adalah ikrar dan tashdiq.
Iman adalah ikrar dengan lisan dan tashdiq dengan hati. Ikrar dengan lisan sahaja belum lagi dikatakan iman. Iman tidak bertambah dan tidak berkurang. Pandangan Abu Hanifah bahawa Iman tidak bertambah dan tidak berkurang, dan juga pandangan beliau tentang Iman adalah kirar dengan lisan dan tashdiq dengan hati sedangkan amal pula terkeluar daripada hakikat iman. Pandangan inilah yang menjadi pembeza utama antara I’tikad Imam Abu Hanifah dengan I’tikad semua Imam-Imam Islam lainnya seperti Imam Malik, Imam Syafi’I, Imam Ahmad, Ishak, Al- Bukhari dan lain-lain lagi. Dalam hal ini yang benar ialah pandangan imam-imam tersebut sedangkan pandangan Abu Hanifah tidak menepati kebenaran. Namun demikian beliau akan diberi ganjaran dalam kedua-dua keadaan (Ijtihad). Dan Imam Abdul Barr dan Imam Ibnu Abi Al ‘Izz menyebut bahawa dapat dirasakan bahawa Imam Abu Hanifah telah kembali atau menarik balik dari perkataannya itu, Wallahu A’lam. Tentang Sahabat Kami tidak mengatakan tentang seorang sahabat pun daripada sahabat-sahabat Rasul s.a.w. kecuali yang baik-baik sahaja. Kami tidak berlepas diri daripada seorang pun daripada sahabat- sahabat Rasul s.a.w. sebagaimana kami tidak menjadikan salah seorang mereka sahaja sebagai pemimpin kami tanpa yang lain. Kedudukan salah seorang mereka bersama Rasulullah s.a.w. satu saat adalah lebih baik daripada amal soleh seorang di antara kita sepanjang umurnya walaupun lanjut usianya. Kami berikrar bahawa manusia yang paling mulia daripada umat ini sesudah Nabi Muhammad s.a.w. ialah Abu Bakar Al-Siddiq kemudian Umar Ibnu Al Khattab kemudian Othman Ibnu ‘Affan kemudian Ali bin Abi Thalib Ridhwaanullahi’Alaihim Ajma’iin.
Tentang Ilmu Kalam Abu Hanifah berkata: Mudah- mudahan Allah menurunkan laknat-Nya ke atas Amr Bin ‘Ubiad kerana dialah orang pertama yang membuka jalan kepada manusia ramai tentang Ilmu Kalam yang sama sekali tidak mendatangkan manfaat kepada mereka. (25) Berkata Abu Hanifah kepada Abu Yusuf: Janganlah kamu katakan kepada orang ramai tentang Ushuluddin secara pendekatan Ilmu Kalam, kerana kelak mereka akan bertaklid kepada kamu dan akhirnya mereka hanya akan menyibukkan diri mereka dengan perkara itu sahaja.(26) Pembahasan Ketiga Aqidah Imam Malik Bin Anas Tentang Tauhid Imam Syafi’i berkata: Imam Malik ditanya tentang Kalam dan Tauhid, lalu Imam Malik menjawab: Adalah mustahil jika kita menyangka Nabi Muhammad s.a.w. mengajar umatnya istinjak tetapi tidak mengajar mereka Tauhid. Dan Tauhid adalah sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. Aku disuruh memerangi manusia sehingga mereka berkata Tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah (HR Imam Bukhari) Hakikat Tauhid adalah segala yang dengannya terpelihara harta dan darah. Daripada Ja’far Bin Abdullah katanya: Kami pernah duduk berdekatan dengan Imam Malik lalu seorang lelaki bertanya kepada beliau: Wahai Abu Abdillah, Allah Yang Maha Pengasih bersemayam di atas `Arasy, bagaimana Dia bersemayam? Imam Malik menjawab: Tentang bagaimana Dia bersemayam tidak boleh diakali (ghair ma’qul), dan bersemayam-Nya bukan suatu yang dijahili (ghair majhul), beriman kepadanya (bersemayam) adalah wajib, dan bertanya tentangnya adalah bid’ah.
Daripada Yahya Bin Al Rabi’ katanya: Aku pernah duduk bersama Imam Malik lalu beliau ditanya oleh seorang lelaki: Wahai Aba Abdillah, apakah pandangan tuan tentang orang yang mengatakan bahawa Al- Quran itu makhluk? Imam Malik menjawab: Dia adalah Zindiq dan bunuhlah dia (29). Daripada Abdullah Bin Nafi’ katanya: Telah berkata Imam Malik: Allah adalah di langit dan Ilmu-Nya pada semua tempat. (30) Tentang Imam Daripada Abdul Razzak Bin Hammam katanya: Aku mendengar Ibnu Juraij dan Sofyan Al Thauri dan Ma’ mar Bin Rasyid dan Sofyan Bin `Uyainah dan Malik Bin Anas; mereka berkata: Iman adalah ucapan dan amalan, boleh bertambah dan boleh berkurang. Daripada Abdullah bin Nafi’ katanya: Imam Malik berkata: Iman adalah ucapan dan perbuatan. Daripada Asyhab Bin Abdul Aziz katanya: Imam Malik berkata: Manusia melakukan solat selama 16 bulan menghadap ke arah Bailtil Maqdis, kemudian mereka diperintahkan supaya menghadap ke arah Masjid Al Haram, lalu Allah SWT berfirman,mafhumnya: Dan Allah tidak akan menyia- nyiakan imanmu. (Al Baqarah: 143) Maksudnya: Allah tidak akan menyia-nyiakan solatmu kearah Baitil Maqdis. Imam Malik berkata: Sesungguhnya ayat ini mengingatkan aku kepada perkataan golongan Murjiah: Sesungguhnya solat bukanlah sebahagian daripada iman. Tentang Sahabat Daripada Abdullah Al’Anbary katanya: Imam Malik Bin Anas telah berkata: Siapa yang memperlecehkan atau memperkecil-kecilkan salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w. atau di dalam hatinya terdapat perasaan dengki kepada sahabat, maka ia tidak berhak mendapat bahagian di dalam harta rampasan perang kaum muslimin. Kemudian beliau membaca ayat, mafhumnya: Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Anshar), mereka berdoa: Ya Tuhan kami beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu daripada kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang- orang yang beriman (AL Hasyr: 10) . Daripada Abdullah bin Nafi’ katanya: Ketika kami sedang duduk-duduk memperkatakan tentang seorang lelaki yang memperkecil-kecilkan sahabat- sahabat Rasulullah s.a.w. lalu Imam Malik membaca ayat ini, mafhumnya: Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka; sehingga tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya kerana Allah hendak menjengkelkan hati orang-orang kafir (dengan kekuatan orang-orang mukmin) (Al Fath: 29) Kemudian Imam Malik berkata: Sesiapa yang terdapat di dalam hatinya perasaan jengkel (sakit hati) terhadap salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w.
maka ia termasuk ke dalam ancaman ayat ini. Daripada Asyhab Bin Abdul Aziz katanya: Seorang `Alawy (fanatik kepada Saidina Ali) bertanya kepada Imam Malik: Siapakah manusia yang paling mulia sesudah Rasulullah s.a.w. ? Imam Malik menjawab: Abu Bakar. `Alawy bertanya lagi: Kemudian siapa? Malik menjawab: Umar Ibnu Al Khattab. `Alawy bertanya lagi: Kemudian siapa lagi? Malik menjawab: Khalifah yang dibunuh secara zalim iaitu Uthman. Lalu `Alawy berkata: Demi Allah, aku tidak akan berguru kepadamu lagi untuk selama-lamanya Imam Malik menjawab: Terserahlah kepada kamu. Tentang Ilmu Kalam Daripada Mash’ab Bin Abdullah Al Zubairy katanya: Imam Malik Bin Anas berkata: Aku benci terhadap kalam dalam urusan agama, dan penduduk negeri kami tetap membencinya dan mereka melarang daripadanya, seperti kalam tentang pandangan Jahm dan Qadariah dan yang seumpama itu. Beliau tidak menyukai kalam kecuali dalam perkara yang dapat diamalkan. Adapun kalam dalam agama Allah dan pada Dzat Allah Azza Wa Jalla maka berdiam diri (sukut) adalah lebih aku sukai kerana aku melihat penduduk negeri kami semuanya melarang kalam dalam urusan agama kecuali yang berkaitan dengan amal perbuatan. Daripada Abdullah bin Nafi’ katanya: Aku pernah mendengar Imam Malik berkata: Jika seseorang yang telah melakukan semua dosa-dosa besar selain syirik, kemudian dia berlepas diri daripada mengikuti hawa nafsu dan perbuatan bid’ah (lalu Imam Malik menyebut di antaranya Kalam) maka ia akan masuk syurga. Daripada Ishak Bin Isa katanya: Aku mendengar Imam Malik Bin Anas mencela perbuatan- perbuatan berbantah-bantahan (jidal) dalam urusan agama, beliau berkata: Setiap kali datang kepada kami orang yang gemar berbantahan seolah-olah ia menginginkan agar kami menolak apa yang dibawa oleh Jibrail kepada Nabi Muhammad s.a.w. Daripada Abdul Rahman Bin Mahdy katanya: Seorang lelaki bertanya kepada Imam Malik , lalu Imam Malik berkata: Barangkali engkau salah seorang sahabat daripada ‘ Amr Bin ‘ Ubaid, mudah-mudahan Allah menurunkan laknat-Nya ke atas ‘ Amr Bin ‘ Ubaid kerana dialah orang yang memulai bid’ah kalam ini , kalaulah kalam itu suatu ilmu nescaya perkara ini menjadi percakapan di kalangan para Sahabat dan Tabi’in sebagaimana percakapan dan perbincangan mereka tentang hukum hakam dan syariat . Daripada Asyhab Bin Abdul Aziz katanya : Aku mendengar Imam Malik berkata : Jauhilah bid’ah. Beliau ditanya : Wahai Aba Abdillah , apakah bid’ah itu ? Jawabnya: Ahli Bid’ah ialah orang orang yang memperkatakan ( yatakallamuun ) tentang Nama nama dan Sifat sifat Allah , tentang Kalam-Nya, Ilmu-Nya, Kudrat-Nya.
Mereka tidak diam (yaskutuun ) sebagaimana diamnya para sahabat dan pengikut pengikut mereka dengan ihsan. Daripada Imam Syafii’ katanya : Jika datang kepada Imam Malik sebagian daripada Ahli Ahwaa’ ( Orang orang yang gemar mengikuti hawa nafsu seperti ahli kalam), lalu beliau akan berkata kepada mereka : Adapun aku telah berada di dalam keyakinan yang jelas ( bayyinah ) yang datang daripada Tuhanku, sedangkan kamu berada di dalam keraguan ( syak ) , oleh sebab itu pergilah kamu kepada keraguanmu dan musuhilah dia. Pembahasan Keempat Aqidah – Imam Syafi’i Tentang Tauhid Daripada Al Rabi’ Bin Sulaiman katanya: Telah berkata Al- Syafi’i: Siapa yang bersumpah dengan Allah atau dengan salah satu Nama daripada Nama- Nama-Nya, lalu ia langgar sumpah itu maka wajib ke atasnya kaffarat sumpah, sedangkan siapa yang bersumpah dengan sesuatu selain Allah seperti kata seseorang: Demi Ka’bah, demi nenek moyang dan sebagainya, lalu ia melanggar sumpah tersebut maka ia tidak wajib membayar kaffarat sumpah. Namun demikian sumpah dengan selain Allah adalah dibenci dan dilarang berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya, Sesungguhnya Allah Azza Wa Jalla melarang kamu bersumpah dengan nenek moyangmu, barangsiapa yang ingin bersumpah maka hendaklah dengan (Nama) Allah atau hendaklah dia diam sahaja (HR Imam Bukhari) Imam Syafi’I berpendapat demikian dengan alasan kerana Nama-Nama Allah adalah bukan makhluk. Oleh itu sesiapa yang bersumpah dengan Nama Allah, lalu ia melanggarnya maka wajib ke atasnya membayar kaffarat. Imam Ibnu Al Qayyim menyebut dalam kitab Ijtima’il Juyuusy Al Islamiah bahawa Imam Al Syaffi’I berkata: Mengikut Sunnah yang aku berada di atas jalannya dan begitu juga aku melihat sahabat- sahabatku daripada kalangan Ahli Hadis yang aku mengambilnya daripada mereka seperti Sofyan dan Imam Malik dan lain-lain lagi, ialah: Ikrar (pengakuan) bahawa sesungguhnya Muhammad adalah pesuruh Allah, dan sesungguhnya Allah adalah di atas `Arasy-Nya dilangit-Nya, Dia mendekati makhluk-Nya sebagaimana Dia kehendaki, dan Allah turun ke langit dunia sebagaimana Dia kehendaki. ) Imam Syafi’i berkata di dalam kitabnya “Al Risaalah” : Al Hamdulillah (segala puji bagi Allah) yang Dia adalah sebagaimana yang Dia telah sifati diri-Nya sendiri dan dia mengatasi apa yang disifati oleh makhluk-Nya”. Imam Al Zahaby menyebut dalam kitab Al Sair daripada Imam Al Syafi’i bahawa beliau pernah berkata: Kami mengithbatkan (menetapkan) semua sifat Allah yang tercantum di dalam Al Quran dan semua sifat Allah yang warid (datang) dari Sunnah, dan kami menafikan (menidakkan) tasybih (penyerupaan) daripada-Nya sebagaimana Dia menafikan daripada diri-Nya kerana firman- Nya, mafhumnya, Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia (Al Syuura: 11) Daripada Al Rabi’ Bin Sulaiman katanya: Aku mendengar Imam Syafi’i berkata tentang firman Allah: Sekali-kali tidak, sesungguhnya mereka pada hari itu benar- benar terhalang daripada (melihat) Tuhan mereka. (Al Muthaffifin: 15) Ayat ini mengajar kepada kita bahawa di sana ada golongan yang tidak terhalang daripada melihat Allah. Manakala ada golongan yang terhalang daripada melihat-Nya kerana kemurkaan-Nya kepada mereka, demikian jugalah akan ada golongan yang dapat melihat-Nya kerana keredhaan- Nya.
Ketika Imam Syafi’i ditanya oleh Al-Rabi’: Wahai Aba Abdillah, adakah tuan berpendapat demikian? Jawap Syafi’i: Ya, demikianlah keyakinanku. Daripada Ibnu Abi Al Jaarud katanya: Ketika disebut nama Ibrahim Bin Ismail Bin ‘Ulaih (menurut Imam Al Zahaby: Ibrahim ini adalah seorang yang berfahaman Jahmy yang mendakwa bahawa al-Quran itu makhluk) kepada Imam Syafi’i, lalu beliau berkata: Aku bercanggah dengannya dalam semua hal; dan tentang Laa Ilaaha Illallaah, aku tidak mengatakan sebagaimana dia katakan. Aku berkata: Tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah yang telah berkata-kata kepada Musa ‘Alaihissalam dengan kata-kata yang sebenarnya daripada belakang hijab (tabir). Sedangkan dia berkata: Tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah yang telah mencipta kata-kata, lalu Dia memperdengarkannya kepada Musa dari belakang hijab. Daripada Al-Rabi’ Bin Sulaiman katanya: Imam Syafi’i berkata: Siapa yang mengatakan Al Quran itu makhluk maka kafirlah dia. Di antara i’tikad yang dinisbahkan (dibangsakan) kepada Imam Syafi’i ialah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Thalib Al’Asyaary, katanya: Imam Syafi’i pernah ditanya tentang sifat-sifat Allah Azza Wa Jalla dan apakah yang sewajarnya kita mengimaninya, lalu Imam Syafi’i pun berkata: Allah Tabaraka Wa Ta’aala memiliki Nama-Nama dan Sifat- Sifat sebagaimana yang tercantum di dalam Kitab-Nya dan sebagaimana yang telah dikhabarkan oleh Rasul-Nya kepada umatnya. Tidak seorangpun boleh membantah hakikat ini.
Sesiapa yang menyalahi yang demikian itu setelah thabit hujjah ke atasnya (setelah ia mengetahuinya) maka dia kafir kepada Allah Azza Wa Jalla. Adapun bagi orang yang belum thabit hujjah ke atasnya kerana belum sampai perkhabaran itu kepadanya maka dia dimaafkan (ma’dzuur) kerana kejahilannya kerana ilmu tentang itu tidak dapat dicapai oleh akal dan tidak pula melalui ilmu pengetahuan dan fikiran. Dan di antara perkhabaran itu ialah bahawa Allah Maha Mendengar (Samii’) dan Dia memiliki dua tangan, kerana Allah berfirman: (Tetapi kedua-dua tangan Allah terbuka) – (Al Maidah: 64), dan Allah mempunyai tangan kanan, kerana firman-Nya: (dan langit digulung dengan tangan kanan- Nya) – (Az Zumar: 67), dan Allah memiliki wajah, kerana firman- Nya: (Tiap-tiap sesuatu pasti binasa kecuali wajah-Nya)- (AlQashash: 88) dan firman-Nya: (Dan tetap kekal Wajah Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan) – (Al-Rahman: 27), dan Allah memiliki kaki, kerana sabda Nabi s.a.w. (Sehingga Tuhan Azza Wa Jalla meletakkan kaki-Nya di dalamnya) – (HR Imam Bukhari) dan Allah SWT ketawa kerana Rasulullah s.a.w. mengkhabarkan tentang ganjaran orang yang mati syahid (Dia akan menemui Allah Azza Wa Jalla, sedangkan Allah ketawa kepadanya) –(HR Imam Bukhari), dan Allah turun ke langit dunia pada tiap-tiap malam, kerana adanya perkhabaran daripada Rasul s.a.w. , dan Allah SWT tidak picak (bermata sebelah) kerana Rasul s.a.w. ketika menceritakan tentang dajjal beliau bersabda: (Sesungguhnya dia (dajjal) itu picak, dan sesungguhnya Tuhanmu tidaklah picak) – (HR Bukhari), dan orang-orang yang beriman akan melihat Tuhan mereka pada Hari Kiamat dengan mata-mata mereka sebagaimana mereka melihat bulan purnama, dan Allah S.W.T. mempunyai jari kerana Rasul s.a.w. bersabda: (Tidak ada satu pun had manusia kecuali dia di antara dua jari dari jari-jemari Allah Azza Wa Jalla Yang Maha Pengasih) Tentang Qadar Imam Al Baihaqy berkata didalam Manaqib Al-Syafi’i bahawa Imam Syafi’i berkata: Sesungguhnya kehendak hamba (masyi-atul ‘ibaad) adalah (kembali) kepada Allah, dan mereka tidak berkehendak kecuali apa yang dikehendaki oleh Allah Tuhan sekalian alam, sesungguhnya manusia tidak mencipta amalan-amalan mereka, malahan amal perbuatan manusia adalah termasuk di antara makhluk Allah, dan sesungguhnya Qadar yang baiknya dan yang buruknya adalah daripada Allah Azza Wa Jalla, dan sesungguhnya seksaan kubur adalah benar (haq), pertanyaan di dalam alam kubur adalah benar, dan kebangkitan (ba’th) adalah benar, dan hisab adalah benar, dan syurga dan neraka adalah benar, dan lain- lain lagi segala yang datang daripada sunnah-sunnah Nabi s.a.w.
Imam Al Baihaqy berkata tentang Imam Syafi’i bahawa beliau pernah berkata: Qadariyah ialah orang-orang yang disebut oleh Rasulullah s.a.w.: Mereka adalah Majusi umat ini – (HR Abu Daud dan Al Hakim) – mereka mengatakan: Sesungguhnya Allah tidak mengetahui maksiat melainkan setelah wujudnya maksiat itu. Al Baihaqy meriwayatkan daripada Al Rabi’ Bin Sulaiman daripada Imam Syafi’i bahawa beliau membenci solat di belakang Qadari. Tentang Iman Al Rabi’ berkata : Aku mendengar Imam Syafi’i berkata: Iman adalah ucapan dan amal serta i’tikad dengan hati; tidakkah kamu melihat firman Allah Azza Wa Jalla: (dan Allah tidak akan menyia-nyiakan imanmu) – (Al Baqarah: 143). Yang dimaksudkan dengan iman di sini ialah solatnya menghadap kearah Baitul Maqdis. Dan solat dinamakan iman ialah kerana solat terdiri daripada: Ucapan, Amalan dan I’tikad. Al Baihaqy meriwayatkan daripada Al Rabi’ Bin Sulaiman katanya: Aku mendengar Imam Syafi’i berkata: Imam adalah ucapan dan perbuatan, bertambah dan berkurang